suria

Penyelam Bomba Selamatkan Lelaki Jatuh Jambatan

GEORGE TOWN: Gara-gara berhutang dengan along sebanyak RM30,000 akibat kalah dalam pertaruhan judi, seorang lelaki nekad terjun dari jambatan Pulau Pinang, lewat petang Isnin.

Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila Ooi Aik Teong, 36, berjaya diselamatkan sepasukan polis gerakan marin dan skuad penyelam bomba yang tiba 30 minit selepas mendapat panggilan kecemasan pada pukul 6.34 petang.

"Polis menerima aduan daripada orang awam yang memancing di situ dan pasukan penyelam bomba menemui lelaki terbabit dalam keadaan terapung kira-kira 6.4 kilometer dari George Town," kata jurucakap polis marin ketika dihubungi di sini, Isnin.

Ooi yang berasal dari Bukit Mertajam dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Superitendan Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh diri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain