suria

Mahkamah Tetapkan 28 Mei Dengar Permohonan Ekstradisi Rakyat Iran

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 Mei untuk mendengar permohonan ekstradisi oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap warga Iran Masoud Sedaghat Zadeh yang dikehendaki kerajaan Thai atas dakwaan pembabitannya dalam insiden pengeboman di Bangkok pada 14 Februari.

Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memaklumkan mahkamah bahawa beliau telah mengemukakan afidavit tambahan pada Isnin ke atas peguam bela Masoud, Mohd Nashir Hussin.

Kamal juga memaklumkan bahawa Mohd Nasir bersetuju untuk memfailkan afidavit balas sebelum 30 April.

Berhubung afidavit tambahan itu, Kamal memberitahu mahkamah bahawa ia telah disahkan oleh pegawai polis dari Thailand dengan disertakan gambar-gambar tempat kejadian.

Komathy membenarkan permohonan Kamal untuk perintah reman ke atas Masoud dilanjutkan bagi membolehkan dia ditahan lebih lama lagi di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan.

Pada 15 Mac, Pejabat Peguam Negara juga mengemukakan afidavit sokongan melalui Peguam Kanan Persekutuan Swandra Kim Chu Ramachandran, yang ditempatkan di Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Pejabat Peguam Negara Malaysia, yang menyatakan bahawa perintah ekstradisi itu dikeluarkan ke atas Masoud di bawah Artikel 7 Perjanjian Ekstradisi antara kerajaan British dan kerajaan Siam pada 1911 yang juga terpakai kepada Malaysia.

Masoud ditahan pada pukul 3.30 petang 15 Feb lepas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di bawah Akta Imigresen ketika hendak berlepas ke Iran, selepas tiba dari Thailand pada malam sebelumnya.

Dia ditahan atas permintaan Bangkok kerana hasil maklumat risikan Agensi Perisikan Kebangsaan Thailand mengesyaki Masuod terlibat bersama-sama dua suspek serangan bom yang ditangkap di Bangkok. -BERNAMA

Artikel Lain