suria

KPT Tidak Akan Bertindak Terhadap Pelajar Duduk & Bantah Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap pelajar yang duduk dan bantah di Dataran Merdeka baru-baru ini.

"Seiring dengan semangat di bawah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kementerian saya tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap pelajar yang terlibat.

"Sebarang kes yang berlaku di luar kampus, AUKU tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.

"Namun jangan berharap kementerian akan membebaskan dan membela sekiranya mereka ditahan oleh pihak polis atau pihak berkuasa kerana tindakan mereka berkumpul secara haram di tempat awam," kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada pemberita selepas merasmikan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di sini, Isnin.

Pada Sabtu, sekumpulan pelajar berarak serta berkhemah di Dataran Merdeka menggesa kerajaan memberikan pendidikan percuma serta menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Mengulas lanjut mengenai PTPTN, Mohamed Khaled berkata, sebarang perubahan hanya akan dibuat berdasarkan kedudukan kewangan negara.

"Saya juga tidak faham apa yang mereka mahu, mereka berdemostrasi mahu PTPTN dimansuhkan tetapi mereka mengambil pinjaman tersebut.

"Jika anda tidak suka sangat pinjaman terlalu banyak, kenapa anda tidak memulangkan wang tersebut?,” soalnya.

Artikel Lain