suria

Jakim Tubuh Iksim Tangani Isu Akidah - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)akan menubuhkan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) bagi menangani ancaman yang menggugat akidah umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata cadangan itu sudah menerima perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan IKSIM dijangka beroperasi hujung tahun ini.

"Kita masih dalam gerak kerja mencari lokasi yang sesuai untuk IKSIM dibangunkan dan dana yang diperlukan. Bagi peringkat permulaan, saya jangkakan ia tidak akan melibatkan terlalu banyak kos," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata penubuhan IKSIM perlu memandangkan umat Islam di negara ini mula dicabar dengan ancaman langsung yang bertentangan dengan akidah seperti kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Katanya Malaysia adalah antara 19 negara yang menolak resolusi yang dilulus Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 17 Jun lepas, membabitkan pengiktirafan kedudukan LGBT dan perkahwinan sejenis. IKSIM katanya akan dijadikan landasan oleh ilmuan Islam untuk mencari pendekatan terbaik bagi menangani ancaman terbabit.

"Agensi agama di negara ini perlu berkembang maju bagi menghadapi cabaran bentuk baru pada masa kini dan akan datang walaupun ditekan oleh anasir dalam dan luar negara," katanya.

Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan surat lantikan dan kelulusan kenaikan pangkat kepada pegawai Jakim yang berkuat kuasa 2 April.

Seramai 57 menerima surat lantikan dan 87 lagi menerima kenaikan pangkat. -BERNAMA

Artikel Lain