suria

Berhati-Hati Dengan Si Penipu Yang Sanggup Membunuh

PETALING JAYA: Sebelum ini hanya mangsa penipuan wang hanya berisiko kehilangan wang namun si penipu sudah lebih berani hingga sanggup membunuh kini.

Kini, rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati kerana si penipu sudah lebih berani kerana mereka akan merompak serta sanggup membunuh mangsa jika mereka berada dalam keadaan terdesak.

Baru-baru ini berlaku kes pembunuhan melibatkan tiga individu di Taman Sri Ramal, Kajang menggunakan modus operandi yang sama.

Seorang individu ini mendakwa dia boleh memperbaiki hubungan keluarga yang renggang akibat pergaduhan telah meletakkan racun rumpai dalam susu yang diberikan kepada mangsa dalam satu upacara ritual pada 1 April lalu.

Suspek meninggalkan rumah mangsa selepas mencuri barang kemas serta beberapa barang berharga lain dan lebih kejam lagi dia membakar tong gas yang terdapat di dapur rumah mangsa

K. Rajeswary, 28, meninggal dunia di hospital pada 4 April manakala abangnya, Manivarannya, 33 meninggal dunia empat hari kemudian.

Manakala, ibu mereka, M. Sakunthala, 63, meninggal dunia Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata walaupun kes penipuan melibatkan kematian jarang berlaku namun beliau percaya terdapat banyak kes sedemikian yang tidak dilaporkan.

“Masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang mereka hadapi termasuk dalam isu pertikaian keluarga serta mengubati penyakit tertentu,” katanya.

Beliau berkata punca kes seperti itu berlaku adalah disebabkan oleh golongan yang terdesak untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Ini memudahkan si penipu tersebut menggunakan pelbagai cara untuk memanipulasi mangsa menggunakan kekuatan dan kelemahan mangsa dengan mereka memulakan langkah pertama dengan memperoleh kepercayaan mangsa.

“Mangsa akan lebih mudah untuk diperdaya apabila mereka berada dalam keadaan terdesak. Si penipu menggunakan kelemahan tersebut untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan daripada mangsa tersebut,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata penipuan sedemikian melibatkan wanga lebih daripada RM 32 juta sejak Januaria hingga Jun tahun lepas.

Selain daripada penipuan Internet, teknik penipuan yang turut digunakan ialah dengan mengumpan menggunakan bungkusan hadiah barang kemas, wang tunai namun mereka mendakwa pakej barangan tersebut telah ditahan oleh Jabatan Kastam dan sejumlah wang perlu dibayar untuk mengambil barang tersebut.

Terbaru kes penipuan Macau, si penipu menggunakan taktik dengan menyamar sebagai anggota polis atau pegawai bank dan menyiasat mangsa serta memaksa mangsa menyerahkan wang mereka dengan alasan untuk memastikan mereka tidak mendapat wang tersebut secara haram.

“Sebanyak 45 kes penipuan Macau dilaporkan melibatkan kerugian berjumlah RM10.6 juta dan 472 bungkusan kes penipuan yang sama melibatkan kerugian berjumlah RM10 juta dalam tempoh yang sama,” kata Syed Ismail.

Artikel Lain