suria

Setiap Perhimpunan Aman Adalah Bersyarat - Hishammuddin

IPOH: Kerajaan tidak menyekat kemahuan mana-mana pihak untuk berhimpun secara aman asalkan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata antaranya mereka mesti memastikan perhimpunan tidak menyusahkan orang ramai selain perlu menyakinkan pihak polis bahawa perhimpunan yang bakal dianjur itu aman.

"Seperti Bersih, kalau mahu lakukan (perhimpunan aman), mereka (penganjur perhimpunan) perlu yakinkan pihak polis mengenai apa dan di mana mahu berhimpun (agar) tidak susahkan orang ramai. Semua pihak terikat pada syarat yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Barisan Nasional (BN) Pilihan Orang Muda, di sini, Sabtu.

Beliau diminta mengulas mengenai permohonan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) semalam untuk berhimpun secara aman di Dataran Merdeka pada 21 April ini, bagi membantah usaha pihak tertentu menjayakan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender serta seks bebas di negara ini.

Mengenai tindakan sekumpulan mahasiswa berhimpun mendesak kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di ibu negara hari ini, Hishammuddin berkata perkara itu adalah isu yang cuba dieksploitasi pihak pembangkang.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata Pergerakan Pemuda BN dan Pergerakan Puteri Umno perlu mewujudkan 'gelombang orang muda' di setiap negeri.

Beliau berkata masa depan negara adalah bergantung kepada tindakan golongan muda pada masa sekarang.

"Esok Perdana Menteri akan bentangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan kita pinda. Semua ini kita lakukan kerana kita (BN) mendengar dan hormati suara golongan muda di luar sana," katanya.

Beliau juga menyifatkan pembangkang ketandusan idea apabila mahu memansuhkan pinjaman PTPTN semata-mata mahu meraih sokongan golongan muda. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain