suria

Polis Kedah Tangkap 3,804 Pesalah Dadah Dalam Tempoh Januari - Mac 2012

ALOR SETAR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menangkap 3,804 orang atas pelbagai kesalahan dadah bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata daripada jumlah itu seramai 97 pengedar dadah yang ditahan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, 95 orang lagi di bawah Seksyen 39A(2) dan 158 lagi didakwa di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

Beliau berkata pihaknya mengambil serius mengenai kes penyeludupan dadah yang kerap berlaku ke negeri ini disebabkan faktor negeri ini berhampiran dengan negara jiran, Thailand.

"Polis berjaya meningkatkan jumlah tangkapan pengedaran dadah sebanyak 31.3 peratus bagi tempoh sama tahun lepas apabila kerap menjalankan operasi Ops Tapis di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam dan di plaza tol.

"Selain itu kita juga melakukan pemerhatian secara berkala di laluan tikus, di stesen bas dan teksi, lapangan terbang dan terminal teksi yang dijadikan sebagai tempat untuk mengedar pelbagai jenis dadah," katanya kepada pemberita pada Program Kembara Basikal Polis Kedah Bersama Rakyat di Kuala Kedah dekat sini, Sabtu.

Sementara itu, katanya jenayah curi motosikal merupakan penyumbang utama kepada peningkatan indeks jenayah di negeri ini iaitu sebanyak 978 kes atau 40.9 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Jenayah kekerasan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula mencatat peningkatan 19 kes iaitu 510 kes berbanding 491 kes dalam tempoh sama tahun lepas manakala jenayah harta benda pula mencatat penurunan 1,881 kes berbanding 2,485 kes untuk tempoh sama.

Jenayah jalanan merupakan penyumbang keempat terbesar kepada indeks keseluruhan jenayah apabila mencatat 240 kes.

Empat daerah yang menjadi penyumbang utama jenayah indeks di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini ialah Kuala Muda, Kota Setar, Kulim dan Kubang Pasu yang mencatat 1,840 kes atau 76.96 peratus manakala daerah lain menyumbang kurang dari 7.0 peratus. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain