suria

Perbuatan Pemimpin Pembangkang Di Istana Negara Jadi Testimoni Sikap Mereka

KANGAR: Perbuatan beberapa pemimpin pembangkang mempersenda dan mengejek Raja-raja Melayu menjadi testimoni mengenai sikap sebenar mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Sabtu.

Menurutnya, perbuatan semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara pada 11 April lalu, adalah keterlaluan.

"Belum lagi berkuasa dah tunjuk kuasa mereka," kata Rais semasa berucap pada majlis perasmian Program Merakyatkan Seni dan Budaya, Komuniti 1Malaysia bersama masyarakat keturunan Siam peringkat negeri Perlis di sini, Sabtu.

Beliau turut menyifatkan sikap pemimpin-pemimpin pembangkang yang sebelumnya diberi penghormatan menghadiri istiadat itu sebagai mencabul negara mereka sendiri.

"Mereka tidak boleh diharap untuk menerajui pentadbiran negara ini," katanya.

Rais menasihati rakyat negara ini supaya mengamalkan budaya murni dan tidak mengikut gelagat pembangkang yang tidak menghormati Raja-Raja Melayu.

Beliau mengesyorkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan program yang boleh meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai asas perlembagaan negara.

Pengetahuan asas perlembagaan itu akan menjadikan rakyat lebih menghargai negara yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum dan budaya.

Di BAGAN DATOH, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula mahu mereka yang terlibat didakwa sebagai satu pengajaran kepada generasi muda supaya tidak menghina institusi Raja-raja Melayu.

"Saya fikir ia harus disiasat untuk pengajaran kepada pemimpin generasi akan datang dan dijadikan panduan supaya mereka lebih matang dalam menangani perbezaan pendapat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Peduli Jujur Sinar anjuran akhbar Sinar Harian dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Parlimen Bagan Datoh.

Tindakan dan perbuatan pemimpin pembangkang itu adalah tidak wajar walaupun terdapat perbezaan fahaman politik yang dibenarkan dalam amalan demokrasi, katanya.

Di SITIAWAN, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihak berwajib perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang didakwa agar tidak dapat memasuki istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong lagi, pada masa akan datang.

Tindakan pihak terbabit adalah sebagai sesuatu yang mempersenda perlembagaan dan kedaulatan Raja-raja di negara ini. "Saya kesal sekiranya perkara itu benar-benar berlaku kerana keadaan seumpama ini seperti mencaci, menghina, mempersendakan Raja-raja biasanya kita dengar di luar tetapi ini di dalam istana yang mana kita telah dijemput untuk menyaksikan istiadat, tetapi bertindak sesuatu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Rakyat bersama warga peserta Felcra di Perak di Perkampungan Felcra Lekir, Kampung Koh di sini.

Di ALOR GAJAH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata sikap dan tindakan pemimpin pembangkang mempersenda dan mengejek raja-raja Melayu menggambarkan budaya dan hala tuju pembangkang sekiranya diberi peluang memerintah negara ini.

"Rakyat nilai sendirilah apa jenis budaya yang nak dibawa oleh mereka, kalau kita tidak hormat dia, dia marah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agong berkelompok cawangan Umno bahagian Alor Gajah di sini, Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri berkata parti politik tidak sepatutnya menerima dana asing yang dilihat seolah-olah mencampuri urusan dalaman negara.

Katanya langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengkaji mekanisme mengelak dana asing bagi membiayai parti politik dilihat baik dalam memastikan tiada pembabitan pihak luar dalam urusan politik negara.

Di KUALA LUMPUR, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M.Kayveas berkata perbuatan pemimpin pembangkang berkenaan adalah bukti bahawa mereka bukanlah pemimpin yang baik untuk menerajui negara. "Perbuatan mereka itu amat menyedihkan dan memalukan. Istiadat pertabalan yang merupakan sejarah penting negara telah dicemari dengan perbuatan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau ditemui selepas meyerahkan bantuan persekolahan dan barangan keperluan rumah kepada 90 penduduk Desa Mentari 2 sempena sambutan Tahun Baru India anjuran bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan PPP, di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz yang juga Naib Presiden PPP. Mengulas lanjut, Kayveas berkata pemimpin pembangkang sering kali menimbulkan masalah kerana akan mengkritik kerajaan jika tidak dijemput ke acara rasmi, namun pada masa yang sama gagal menghormati majlis jika menghadirinya. "Istiadat pertabalan itu mendapat liputan luas media dari luar negara. Adakah mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu akan memberi gambaran buruk kepada negara luar," kata Kayveas.

-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain