suria

Pengurusan Baru Proton: Kerajaan Tidak Campur Tangan Keputusan DRB-HICOM

IPOH: Kerajaan tidak campur tangan dalam apa juga keputusan DRB-HICOM berhubung pelantikan dalam pengurusan baru Proton, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, sebagai syarikat yang menguasai majoriti kepentingan Proton, DRB-HICOM bertanggungjawab menentukan perjalanan syarikat pembuat kereta nasional itu dengan pelantikan tertentu dalam pengurusan di bawahnya.

"Perjalanan Proton pada masa depan ditentukan oleh DRB-HICOM... apa keputusan (berhubung Proton) akan dibuat oleh syarikat yang memiliki Proton. Jadi apa jua perubahan dan keputusan mereka, itu bukan kerajaan tetapkan, kerajaan tidak campur tangan," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Agama Izzzuddin Shah di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar pada Sabtu yang mengatakan spekulasi peletakan jawatan pegawai tertinggi Proton Holdings Bhd dipercayai telah menyebabkan pemilik syarikat kereta nasional itu, DRB-HICOM menggabungkan barisan pengurusan yang baru.

Ia juga melaporkan gabungan pengurusan baharu DRB-Hicom dan Proton itu bakal diumumkan minggu depan.

Proton, bagaimanapun, menafikan khabar angin peletakan jawatan itu.

Ahmad Husni berkata, sebagai sebuah syarikat dalam sektor swasta, DRB-HICOM sudah tentu akan memastikan pelaburan dan apa juga keputusannya dalam Proton mendapat pulangan.

Selain itu DRB-HICOM juga akan memastikan perluasan perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa terus dipacu, katanya.

Proton kini dikuasai secara majoriti oleh DRB-HICOM Bhd selepas ia memperoleh kepentingan 42.74 peratus daripada cabang pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain