suria

Keluarga Pengerusi MIC Padang Serai Rugi RM10,000 Dirompak

KULIM: Tiga orang termasuk seorang wanita berpura-pura mahu menyampaikan kad undangan perkahwinan masuk ke rumah Pengerusi MIC Bahagian Padang Serai, Datuk S. Parasuraman di Taman Seluang di sini sebelum merompak barang kemas dan wang tunai bernilai RM10,000 petang Sabtu.

Setelah masuk ke dalam rumah Parasuraman, yang ketika itu tiada di rumah, dua lelaki dalam kumpulan itu menghunuskan pisau menakutkan isteri Parasuraman, Datin M. Pungavanam, 62, anak perempuannya P.Gowri, 33, bersama dua anak Gowri, T.Vinod, 10, dan T. Arshia, 3, yang berada dalam rumah sewaktu kejadian kira-kira pukul 2.30 petang.

"Tangan isteri dan anak perempuan saya telah diikat dengan pita dan mulut mereka juga ditutup dengan plaster. Mereka kemudian menghunus pisau ke leher dua orang cucu serta anak perempuan saya.

"Dua daripada mereka memaksa dan mengugut akan mencederakan mereka (cucu dan anak Parasuraman) jika enggan memberikan mereka barang-barang kemas dan wang yang ada dalam rumah," kata Parasuraman kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya.

Parasuraman berkata oleh kerana ketakutan, isteri dan anak perempuannya telah mengeluarkan barang kemas milik mereka yang disimpan dalam rumah dan menyerahkannya kepada perompak tersebut. Katanya, perompak-perompak itu turut meragut barang kemas yang dipakai isteri dan anaknya lalu melarikan diri meninggalkan mangsa di dalam rumah.

Parasuraman berkata perompak-perompak berkenaan yang datang menaiki sebuah kereta tidak memakai sebarang topeng dan berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an. Beliau kemudian melaporkan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasat rapi berhubung laporan tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain