suria

KDN Guna Pendekatan Rondaan 1Malaysia Kawal Sempadan Malaysia - Thailand

KOTA BAHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggunakan pendekatan kawalan sempadan menerusi konsep rondaan 1Malaysia, yang melibatkan semua agensi di bawah kementerian itu dalam mencegah kegiatan jenayah dan penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia dan Thailand.

Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Mahmood Adam berkata pendekatan kawalan itu, yang akan bermula Isnin ini, selaras dengan Strategi Lautan Biru yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di seluruh negara.

"Kementerian akan menggerakkan anggota daripada lapan agensi penguatkuasa di bawah KDN termasuk polis, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Angkatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mengawal sempadan di bawah konsep rondaan 1Malaysia, mulai Isnin ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek sumbangan saguhati khas kepada bekas anggota polis yang berkhidmat di zaman darurat, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, Sabtu.

Pada majlis itu, seramai 120 bekas anggota polis atau 'home guard' dari tujuh jajahan iaitu Kota Baharu, Pasir Puteh, Gua Musang, Pasir Mas, Kuala Krai, Machang dan Tumpat, mereka masing-masing menerima sumbangan RM3,000 seperti diumumkan Perdana Menteri ketika ucapan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober tahun lepas.

Mahmood berkata dalam mengawal kegiatan jenayah dan penyeludupan di kawasan sempadan, kementerian tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang melakukan rasuah.

Beliau berkata kementerian mengambil tindakan menukar serta merta 188 pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan rasuah dalam operasi yang dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kelantan baru-baru ini.

"Kita juga akan mengamalkan sistem penempatan pegawai dan kakitangan penguatkuasa di kawasan sempadan tidak lebih tiga tahun atau kurang bagi mengelakkan kegiatan salah laku di kalangan kakitangan terbabit," katanya.

Mengenai lawatannya ke Kelantan, Mahmood berkata selain meninjau kawasan Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 125 kilometer, beliau juga mengadakan mesyuarat bersama pegawai daripada agensi di bawah kementerian selain menjelaskan mengenai tugas dan hala tuju pasukan Rela melalui akta baru yang akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin depan.

Beliau menasihatkan rakyat negeri ini menggunakan laluan dan pusat pemeriksaan sah yang kini berjumlah empat buah, untuk menyeberangi sempadan.

Sementara itu, semasa berucap Mahmood berkata melalui Program Bayaran Saguhati Khas kepada bekas anggota polis, kerajaan melalui kementeriannya mengeluarkan bantuan kepada 62,000 orang yang terlibat dalam perkhidmatan itu ketika darurat, dengan perbelanjaan berjumlah lebih RM186 juta.

"Daripada jumlah itu, seramai 1,933 bekas anggota polis dari Kelantan menerima pembayaran itu secara berperingkat sejak Khamis lepas," katanya.

Sementara itu, penerima tertua Wan Mustaffa Wan Jusoh, 88, berasal dari Kampung Seberang Jertih, Terengganu berkata beliau amat terharu dan bersyukur kerana menerima sumbangan itu yang disifatkannya suatu penghargaan tidak ternilai daripada kerajaan terhadap khidmatnya kepada negara di zaman darurat.

"Penghargaan yang diberikan kerajaan ini mengembalikan ingatan saya semasa berjuang bersama rakyat negara ini menentang komunis yang diketuai Chin Peng pada 1940-an," katanya sambil mengimbas negara ini di bawah pimpinan Perdana Menteri Pertama Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain