suria

Kastam Kelantan Patah Cubaan Seludup Dadah Di Lapangan Terbang

KOTA BHARU: Kastam Kelantan berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki warga India untuk menyeludup masuk dadah jenis ketamin seberat tiga kilogram bernilai RM120,000 di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini minggu lepas.

Timbalan Pengarah Kastam Kelantan, Zakaria Yusoff berkata lelaki berusia 38 tahun dari Mumbai, India itu ditahan selepas tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi, 8 April lepas.

Dadah itu ditemui dalam beg yang dibawa lelaki tersebut selepas suspek didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika melalui pemeriksaan penumpang, katanya kepada pemberita, di sini Ahad.

Suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Katanya, kes itu merupakan tangkapan pertama Kastam Kelantan membabitkan penyeludupan dadah oleh warga asing di lapangan terbang tersebut tahun ini.

Mengulas kes lain, Zakaria berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, Kastam Kelantan mengesan 187 kes penyeludupan melibatkan rampasan lima jenis komoditi utama negara bernilai RM1.9 juta.

Antara komoditi itu ialah beras, rokok serta mercun dan bunga api, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain