suria

Jangan Pasang Bendera Di Tiang Elektrik

KUALA TERENGGANU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengingatkan parti-parti politik di negeri ini supaya tidak memasang bendera parti di tiang-tiang elektrik.

Pengurus Besar TNB negeri Terengganu Md Yuslan Md Yusof berkata, memasang bendera di tiang-tiang elektrik boleh mengundang kemalangan elektrik.

"Kita nasihatkan parti-parti politik di negeri ini supaya menurunkan bendera-bendera yang telah dipasang di tiang-tiang elektrik kerana ia mengundang bahaya terutama apabila terdapat kabel elektrik yang tidak bersalut.

"Mana-mana bendera yang dipasang di tiang-tiang elektrik yang dikira berbahaya, kita akan turunkan bendera berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Perbuatan itu juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 Kerana Mengganggu Pepasangan Elektrik, katanya ketika diminta mengulas mengenai adanya parti-parti politik di negeri ini memasang bendera di tiang elektrik di merata-rata tempat tanpa mengira perbuatan itu adalah berbahaya.

Beliau berkata sepatutnya kes melibatkan dua lelaki yang maut ketika memasang bendera di tiang eletrik di Tanah Merah, Kelantan dijadikan iktibar dan tidak diikuti.

"Jadi kita nasihatkan pekerja-pekerja parti jangan memasang bendera parti di tiang-tiang elektrik bagi menghindari perkara yang tidak diingini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain