suria

APMM Tahan Nelayan Vietnam Tangkap Ikan Di Perairan Malaysia

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Sabtu menahan dua bot bersama 27 nelayan Vietnam yang menangkap ikan di perairan negara.

Komander Maritim APMM Daerah Tok Bali Zainin Abdul Majid berkata kedua-dua bot tersebut yang menggunakan nombor pendaftaran palsu tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa, ditahan kira-kira 31 batu nautika dari Tok Bali pada pukul 10.30 pagi.

Kesemua awak-awak dan tekong yang berusia antara 15 dan 48 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu.

Beliau berkata kedua-dua bot dan nelayan berkenaan dibawa ke pangkalan APMM Tok Bali dan akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985.

Zainin berkata jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM1 juta atau 6 bulan penjara bagi tekong dan RM100,000 atau 6 bulan penjara bagi setiap awak-awak atau kedua-duanya sekali.

"Bot dan peralatan serta hasil tangkapan dirampas," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain