suria

Tiga Suspek Kes Samun Kedai Emas Mati Ditembak

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian samun kedai emas di Shah Alam, minggu lepas, ditembak mati di Bulatan Cheras, di sini, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata polis mengekori kereta yang dinaiki ketiga-tiga lelaki itu dari Hospital Pantai, Cheras pada 11.30 pagi dan memintasnya di bulatan itu.

"Suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan melepaskan tembakan ke arah polis, menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata dua daripada tiga lelaki itu berumur 24 tahun manakala seorang lagi 40 tahun. "Kereta yang dinaiki suspek sebelum itu melanggar dua kereta lain," kata Ku yang meminta pemilik dua kereta berkenaan membuat laporan polis bagi membantu siasatan. Beliau berkata polis menemui beberapa bilah parang dan dadah jenis syabu di dalam kereta yang dinaiki suspek.

Kesemua suspek itu dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai emas Seksyen 18, Shah Alam pada 6 April lepas melibatkan kerugian RM600,000 dan polis masih mengesan barangan kemas yang disamun dari kedai itu.

"Siasatan juga mendapati seorang daripada suspek yang berusia 24 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan samun," kata Ku. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain