suria

Suami Isteri Dituduh Bunuh Amah Warga Kemboja

BUKIT MERTAJAM: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan dengan niat bersama membunuh seorang amah warga Kemboja pada 1 April lepas.

Tertuduh Soh Chew Tong, 43 dan Chin Chui Ling, 41, dituduh dengan niat bersama melakukan kesalahan itu terhadap Mey Sichan, 24, seorang warga Kemboja di premis bernombor 2190 Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak antara 1 Jan hingga 1 April.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka yang diwakili peguam bela Michael K.L Chee hanya tunduk ketika pertuduhan dibacakan. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Chiang Kian Hong menetapkan 7 Jun depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurdeenie Abdul Rashid.

Akhbar melaporkan mayat mangsa ditemui di atas katil dalam sebuah stor barang di tingkat dua premis perniagaan milik kedua-dua tertuduh.

Mangsa bekerja dengan pasangan suami isteri itu sejak September tahun lepas dan mula didera sejak beberapa bulan lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain