suria

Rosmah Lancar Laman Kasih Bantu OKU Selangor Ceburi Pertanian Kit Fertigasi

PUTRAJAYA: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Sabtu melancarkan program Laman Kasih iaitu sebuah projek berteknologi tinggi yang akan melibatkan penyertaan golongan kelainan upaya (OKU) di seluruh negeri Selangor.

Beliau berkata sebagai permulaan, projek yang dijalankan di bawah Badan Amal Selangor atau Kasih itu, akan memberikan 'kit fertigasi' kepada 30 OKU daripada Persatuan Peniaga-peniaga Cacat Negeri Selangor bagi memulakan projek pertanian.

Rosmah, yang juga merupakan Yang DiPertua Kasih, berkata syarikat Waiz K Bio-Organics ditugaskan untuk memberikan latihan intensif bagi memastikan para peserta dapat mengaplikasi projek fertigasi berskala sederhana itu secara berkelompok dan berkesan.

"Bukan setakat itu sahaja, peserta program itu akan diberikan sejumlah elaun sepanjang tempoh projek itu berjalan.

"Usaha itu tidak akan terhenti di sini sahaja kerana di akhir kitaran projek itu iaitu selama enam hingga 10 bulan, 30 orang perintis itu akan kemudiannya menjadi mentor untuk melatih OKU lain," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Kasih kali keempat dan majlis pelancaran laman Kasih, di sini, Sabtu.

Bagi menjayakan projek itu, katanya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersetuju memberikan peruntukan RM100,000 kepada 42 buah Pusat Pemulihan Komuniti di seluruh negeri Selangor.

Jelasnya usaha itu adalah selaras dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan golongan OKU tidak terpinggir dalam agenda pembangunan negara.

"Saya berasa amat bangga di atas inisiatif projek ini di mana ia bukan sahaja dapat melatih golongan OKU untuk melengkapkan diri di dalam bidang pertanian yang akhirnya juga boleh mendatangkan pendapatan lumayan," katanya.

Selain itu, katanya di bawah program Sentuhan Kasih 1Malaysia, Kasih yang ditubuhkan empat tahun lalu, telah menjelajah kesemua 22 kawasan Parlimen Selangor dan memberi sumbangan kepada 100 hingga 200 golongan yang memerlukan bantuan di setiap kawasan Parlimen.

Di bawah program Tunas Kasih, seramai 560 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan dermasiswa dengan agihan 10 pelajar di setiap DUN.

Pada majlis itu, Rosmah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kasih dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi pelaksanaan program Sukma Kasih.

Kasih diwakili Naib Yang DiPertua Kasih, Prof Datin Seri Dr Aishah Salleh dan Timbalan Naib Canselor, HEP UiTM Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said bagi pihak UiTM menandatangani MoU.

Katanya MoU itu membolehkan sebilangan mahasiswa bekerjasama dengan Kasih sebagai sukarelawan untuk bersama-sama turun padang bagi menjayakan aktiviti kemasyarakatan.

"Semoga kolaborasi ini akan mewujudkan jalinan hubungan yang lebih baik di antara institut pengajian tinggi tempatan (IPT) dan NGO seperti Kasih.

"Adalah menjadi harapan saya agar lebih banyak IPTA/S akan mengikuti jejak langkah UiTM untuk melibatkan diri dengan program Sukma Kasih," katanya.

Rosmah berkata Kasih perlu memperluaskan programnya kepad kesemua sembilan daerah di negeri itu agar ia dapat dimanfaatkan oleh 5.4 juta rakyatnya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain