suria

Kewangan Negara Positif Walaupun Beri BR1M

GOPENG: Kewangan negara berada pada tahap yang positif dan kerajaan mempunyai dana mencukupi bagi membiayai program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 untuk ketua keluarga isi rumah yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata pembiayaan BR1M dibuat hasil kekuatan ekonomi negara yang didokong usaha serta kerja keras agensi-agensi terlibat termasuk sektor pelancongan dalam menjana pendapatan negara.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kebudayaan dan Pelancongan 1Malaysia 2012 di sini hari ini, beliau berkata pada 2011, sektor pelancongan negara memperoleh pendapatan RM58.4 bilion hasil kedatangan lebih 24.6 juta pelancong asing ke negara ini.

Katanya pendapatan itu sahaja mencukupi untuk membiayai BR1M yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion tanpa mengambil kira sumbangan daripada kementerian dan sektor lain di negara ini Justeru, tohmahan dilemparkan pembangkang yang mengatakan peruntukan BR1M dipinjam daripada pihak lain adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah, katanya.

Dr Ng berkata semua rakyat hendaklah menilai dengan bijak segala tohmahan yang dilemparkan itu yang semata-mata kerana mahu meraih undi dan memerintah negara ini.

Beliau berkata dasar yang diketengahkan pembangkang seperti pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol jika mereka memerintah adalah tidak realistik.

Rakyat perlu melihat apa yang berlaku di Eropah pada masa sekarang di mana ada negara dan syarikat besar terpaksa mengurangkan pekerja, memotong gaji serta menaikkan cukai bagi menampung perbelanjaan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain