suria

Kawasan Terlibat Gangguan Air Dijangka Berkurang - Syabas

KUALA LUMPUR: Bilangan kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di enam wilayah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dijangka berkurangan apabila tindakan pemulihan sementara di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) siap kira-kira 6 petang ini.

Syabas berkata apabila kerja-kerja itu siap, jumlah pengeluaran LRA SSP2 akan dapat ditingkatkan antara 70 peratus dan 80 peratus dan seterusnya mengurangkan jumlah kawasan yang terlibat dengan gangguan itu.

Gangguan bekalan air tidak berjadual itu meliputi Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Ia berikutan pengurangan pengeluaran air terawat di loji rawatan air berkenaan disebabkan kerosakan pada alat ubah (transformer).

Dalam satu kenyataan, Syabas berkata pada masa ini, paras enam kolam utama yang membekalkan air ke enam wilayah itu mengalami penyusutan.

"Setakat 11 pagi ini, 680 aduan ketiadaan air dan 50 lagi berhubung tekanan air diterima oleh Syabas," kata syarikat itu, sambil memberitahu bahawa lori-lori tangki telah mula dihantar ke kawasan yang memerlukan berdasarkan permintaan.

Pengguna di kawasan terlibat dinasihat berjimat dalam penggunaan air. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain