suria

Dua Suspek Kes Samun Kedai Emas Mati Ditembak, Seorang Cedera

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun kedai emas, ditembak mati di bulatan Cheras di sini, Sabtu, manakala seorang lagi rakan mereka cedera parah, kata polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata polis mengekori kereta yang dinaiki ketiga-tiga lelaki itu dari Hospital Pantai, Cheras pada 11.30 pagi dan memintasnya di bulatan itu.

"Suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan melepaskan tembakan ke arah polis, menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata dua lelaki yang mati itu berumur 24 dan 40 tahun manakala lelaki yang cedera berusia 24 tahun dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

"Kereta yang dinaiki suspek sebelum itu melanggar dua kereta lain," kata Ku yang meminta pemilik dua kereta berkenaan membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Beliau berkata polis menemui beberapa bilah parang dan dadah jenis syabu di dalam kereta yang dinaiki suspek yang kesemuanya warga tempatan.

Kejadian samun kedai emas di Seksyen 18, Shah Alam pada 6 April lepas melibatkan kerugian RM600,000 dan polis masih mengesan barangan kemas yang disamun dari kedai itu.

"Siasatan juga mendapati suspek berusia 24 tahun yang ditembak mati itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan samun," kata Ku. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain