suria

Bakal Haji Dinasihat Jawab Surat Tawaran Tunai Haji Secepat Mungkin

SEMPORNA: Bakal-bakal haji di Sabah yang telah mendapat surat tawaran untuk menunaikan haji tahun ini, dinasihat supaya menjawab surat berkenaan secepat mungkin.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata jawapan segera itu perlu bagi membantu bakal jemaah dan Tabung Haji melicinkan proses persiapan menunaikan haji.

"Kita lihat masih ramai bakal haji yang ingin menunaikan haji. Kalau mereka jawab segera, mudah bagi Tabung Haji membuat perancangan termasuk menambah bilangan jemaah jika perlu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Asas Haji Siri Ke-7 untuk 253 individu di Semporna yang telah mendaftar untuk menunaikan haji tahun ini.

Nasir yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di Sabah, berkata berdasarkan data Tabung Haji Sabah, seramai 474 orang telah diberi surat tawaran untuk menunaikan haji tahun ini tetapi hanya 216 orang yang memberi jawapan.

Beliau berkata selain itu, bakal jemaah juga perlu mengambil inisiatif untuk memeriksa nama mereka di pejabat Tabung Haji berhampiran bagi memastikan sama ada mereka diterima atau tidak untuk menunaikan haji tahun ini.

"Mungkin surat tawran tak sampai kerana kesilapan alamat, oleh itu bakal jemaah perlu mengambil inisiatif datang sendiri ke pejabat Tabung Haji berhampiran," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Tabung Haji Sabah Muhammad Zaki Baijuri meminta umat Islam yang telah mendaftar untuk menunaikan haji tetapi giliran mereka masih jauh supaya sentiasa mengemaskini alamat mereka bagi mengelak masalah surat menyurat.

Mengenai jumlah rayuan untuk menunaikan haji yang diterima Tabung Haji Sabah setakat ini, Muhammad berkata seramai 700 orang membuat rayuan di Sabah.

"Sama ada rayuan mereka diterima atau tidak, bergantung kepada kekosongan. Bagaimanapun, kami nasihatkan mereka mengikuti kursus haji. Jangan tunggu sampai terima surat tawaran baru nak berkursus," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain