suria

Tengku Fakhry Dan Malay Mail Capai Penyelesaian Berhubung Saman Fitnah

KUALA LUMPUR: Saman fitnah yang difailkan adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra terhadap akhbar Malay Mail dan dua yang lain berhubung laporan cubaan membunuh pengawal istana Kelantan, dua tahun lalu, telah selesai.

Peguam Tengku Muhammad Fakhry, A. S. Dhaliwal, memberitahu pemberita bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof merekodkan persetujuan penghakiman dalam kamar selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah penyelesaian tidak dapat didedahkan.

Dhaliwal juga berkata Malay Mail perlu menerbitkan permohonan maaf bertulis dalam akhbar Berita Harian dan New Straits Times dalam tempoh tujuh hari.

Pada 11 November tahun lepas, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan writ saman menamakan akhbar Malay Mail Sdn Bhd sebagai defendan pertama, syarikat pencetak The New Straits Times Press (M) Bhd, Ketua Editor Yushaimi Maulud Yahya dan wartawan Marhalim Abbas sebagai defendan kedua hingga keempat.

Dalam pernyataan tuntutan, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa kesemua defendan bertanggungjawab menerbitkan satu artikel dalam Malay Mail Online News Portal pada 5 Mei, 2010, sehingga menjejaskan reputasi, jawatan dan kerjayanya.

Selain ganti rugi berjumlah RM50 juta, tengku Muhammad Fakhry menuntut akhbar terbabit menerbitkan permohonan maaf, suatu injunksi supaya pihak defendan tidak mengulangi artikel terbabit dan memohon ganti rugi teladan serta kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

Artikel Lain