suria

Mahkamah Tolah Permohonan Isteri Baharuddin Untuk Semak Keputusan Koroner

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menolak permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan permohonan keluarga pemandu teksi yang meninggal dunia semasa perhimpunan 9 Julai di ibu negara bagi mendapatkan salinan percakapan saksi.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan bahawa tiada kesilapan yang dibuat oleh Koroner Zulkpli Abdullah, yang mendengar prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Baharuddin Ahmad.

Beliau membuat keputusan itu setelah mendengar hujahan daripada peguam Ahmad Jufliz Faiza, yang mewakili isteri Baharuddin, Rosni Malan dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad.

Dalam permohonannya, Rosni yang menamakan Koroner sebagai responden pertama dan Timbalan Pendakwa Raya sebagai responden kedua, antaranya memohon Koroner mengarahkan percakapan saksi dan dokumen dalam kawalan pihak hospital, berkaitan dengan prosiding inkues, dikemukakan kepadanya atau peguam.

Koroner Zulkpli pada 26 Mac lepas telah menolak permohonan Rosni dan peguamnya supaya Zulkpli mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya memberikan percakapan saksi itu kepada mereka.

Ahmad Jufliz dalam afidavit sokongannya, mendakwa keterangan saksi itu penting bagi membantu mahkamah dalam memastikan keterangan saksi adalah benar, konsisten dan tidak bercanggah demi kepentingan keadilan semua pihak.

Dalam permohonannya itu juga, Ahmad Jufliz, memohon untuk mendapatkan salinan buku pendaftaran kematian yang mengandungi senarai kematian pada 9 dan 10 Julai 2011 selepas pihak hospital tidak memberikan salinan itu kepadanya, melainkan mendapat kebenaran mahkamah.

Kes itu kemudiannya disebut semula di hadapan Koroner Zulkpli. Beliau kemudiannya membenarkan permohonan peguam itu bagi mendapatkan salinan buku pendaftaran kematian.

Koroner Zulkpli berkata beliau perlu menimbangkan kewujudan dakwaan terdapat berlakunya pertukaran jantung dengan orang lain semasa bedah siasat dijalankan terhadap Baharudin.

"Saya tiada alasan untuk menolak buku pendaftaran itu dikemukakan di mahkamah," katanya.

Mahkamah Koroner menetapkan 18 April untuk sambung bicara. - BERNAMA

Artikel Lain