suria

BN Perlu Beri Tumpuan Bentuk Semula Kerajaan Di Selangor - Mubarak

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mencatat kemenangan di Selangor pada pilihan raya umum ke-13 bagi membentuk semula kerajaan di negeri itu, kata Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar.

Sebaliknya, kata beliau, sebarang cakap-cakap mengenai siapa yang layak mengisi jawatan Menteri Besar Selangor sekiranya BN kembali berkuasa di negeri itu adalah tidak penting buat masa ini.

Katanya pendirian berkenaan telah disampaikan oleh Mubarak kepada pengetahuan pucuk kepimpinan BN Selangor yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Memang perkara ini sudah diperhatikan sejak sekian lama. Begitu juga di pihak Perdana Menteri. Namun soal sama sudah ada calon-calon sesuai dikenal pasti untuk jawatan Menteri Besar Selangor, itu terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri.

"Tetapi apa yang pasti, daripada lebih 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang BN ada, takkanlah kita tidak dapat pilih seorang calon untuk mengisi jawatan berkenaan. Ini adalah mustahil. Adalah tidak adil untuk pihak tertentu melabelkan ADUN-ADUN kita tidak mempunyai keupayaan untuk mentadbir Selangor."

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah dalam program "Dalam Radar" terbitan Bernama Radio24, Khamis.

Bagaimanapun Abu Hassan berkata, seseorang ADUN yang mempunyai kelayakan setimpal, prestasi kerja yang baik, personaliti yang disukai rakyat selain bersikap telus, boleh dipertimbangkan namanya kepada PM dan Sultan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Ditanya mengenai sama ada BN mempunyai peluang cerah untuk menawan kembali Selangor pada PRU akan datang, bekas Menteri Besar Selangor itu melahirkan keyakinan bahawa misi tersebut boleh direalisasikan.

Keyakinan tersebut, katanya, adalah berdasarkan kepada sikap rakyat Selangor yang kini mulai sedar terhadap kepincangan dan perwatakan sebenar pakatan pembangkang.

"Jika kita boleh satupadukan segala usaha kita khususnya dari aspek jentera parti-parti komponen BN, Mubarak dan badan-badan lain ditambah pula dengan tahap kesedaran rakyat terhadap kepincangan sebenar pembangkang, misi ini boleh berjaya.

"Tambahan pula, BN mempunyai rekod pencapaian dan jentera pilihan raya yang lebih tersusun berbanding pembangkang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain