suria

Ribut Landa Kuala Nerang, 20 Rumah Rosak

ALOR SETAR: Ribut kuat disertai hujan lebat kira-kira 15 minit di pekan Kuala Nerang dekat sini, petang semalam menyebabkan hampir 20 rumah dan berbelas kedai serta gerai rosak.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim berkata rumah-rumah yang rosak teruk ialah di Kampung Bendang, Kampung Baru, Kampung Semeliang dan Kampung Seberang serta beberapa taman perumahan di pekan Kuala Nerang.

"Saya bersama Pasukan Bertindak Adun Kuala Nerang melancarkan operasi memberi khidmat bantuan kepada mangsa-mangsa ribut dan menebang pokok yang tumbang menimpa rumah dan gerai-gerai sehingga tengah malam Rabu.

"Khidmat ini disambung hari ini. Bantuan segera RM500 diberi kepada pemilik rumah yang mengalami kerosakan teruk manakala pengusaha gerai antara RM100 dan RM200," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Seorang ibu tunggal, Rokiah Ahmad, 63, dari Kampung Seberang berkata ribut dan hujan lebat pada kira-kira pukul 6 petang itu berlaku hanya beberapa minit. "Makcik berada di depan rumah masa ribut kuat itu. Kami hanya mampu melihat bumbung rumah diterbangkan dan air hujan memasuki rumah," katanya yang tinggal bersama dua anak termasuk seorang anak kelainan upaya (OKU).

Peniaga pakaian di hadapan stesen bas baru Kuala Nerang, Azizah Osman, 53, pula berkata beliau kerugian hampir RM8,000 akibat kejadian itu manakala 12 lagi peniaga di tapak perniagaan itu kerugian antara RM400 hingga RM500 seorang setelah barang perniagaan mereka diterbangkan angin dan rosak terkena hujan.

Pengusaha kedai besi, Ching Yu Chai, 53, berkata bumbung kedainya rosak ditimpa pokok petai yang tumbang akibat ribut itu.

Sementara itu, seorang jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dihubungi berkata bantuan membaikpulih rumah mangsa ribut akan dikeluarkan selepas bancian dan penilaian yang dibuat hari ini selesai. -BERNAMA

Artikel Lain