suria

MAS Pantau Situasi Destinasi Di Lingkaran Lautan Hindi

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) memantau dengan teliti operasi penerbangan destinasi antarabangsa di sekitar Lingkaran Lautan Hindi berikutan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia sehingga menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami.

Pihak berkuasa lapangan terbang di Phuket, Thailand mengumumkan penutupan lapangan terbang di bandar itu selepas amaran tsunami dikeluarkan dan MAS telah membatalkan penerbangan MH790 yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang ke Phuket pada jam 1710, Rabu.

Terdahulu, penerbangan MH786 beroperasi pagi ini dan tiba Phuket serta kembali ke KLIA seperti biasa, menurut kenyataan MAS di sini Rabu.

Operasi penerbangan anak syarikat MAS, Firefly juga seperti dijadualkan dan penerbangan harian FY3604 dari Pulau Pinang ke Phuket serta penerbangan balik FY3605 sebelum operasi lapangan terbang Phuket ditutup sementara.

Penerbangan harian MAS ke destinasi lain di Lingkaran Lautan Hindi adalah ke Colombo (MH179), Chennai (MH180) dan Maldives (MH177).

Pada masa ini semua penerbangan berkenaan beroperasi seperti dijadualkan, Rabu.

Para penumpang dinasihatkan menyemak status terkini penerbangan mereka dengan Malaysia Airlines di Pusat Panggilan yang beroperasi 24 jam (1300 88 3000 dari dalam Malaysia dan +603 7843 3000 bagi panggilan dari luar Malaysia) serta menerusi laman sesawang http://www.malaysiaairlines.com/my/en/book-and-plan/flight-status.html. - BERNAMA

Artikel Lain