suria

Cubaan Serahkan Sepina Kepada Bekas Penulis Ucapan Anwar Tidak Berjaya

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Khamis diberitahu bahawa pihak pendakwaan dalam perbicaraan saman sivil melibatkan kemudahan pinjaman bersindiket lebih RM445 juta gagal menyerahkan sepina kepada bekas penulis ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam D.Paramalingam, yang mewkili ahli perniagaan Low Thiam Hoe sebagai defendan dalam kes itu, berkata tiga cubaan untuk menyerahkan sepina kepada Mohd Faiz Abdullah di rumahnya di sini, tidak berhasil.

Mohd Faiz disepina supaya memberi keterangan sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan kes itu.

Paramalingam juga berkata oleh kerana pihak pendakwaan tidak lagi mempunyai saksi untuk memberi keterangan, maka pihaknya menutup kes itu.

Hakim Hadhariah Syed Ismail menetapkan 24 Mei sebagai tarikh untuk memberi keputusan tentang kes berkenaan dan memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan menjelang 3 Mei.

Anwar juga disepina supaya memberi keterangan pada perbicaraan kes itu, di samping pengerusi Hong Leong Bank Berhad Tan Sri Quek Leng Chan.

Bagaimanapun, mereka berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk mengetepikan sepina itu.

Ketika pebicaraan, Low memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pada Mac 1997, dua individu bernama Hamzah Harun dan Mohd Faiz Abdullah daripada syarikat Arus Murni Sdn Bhd memberitahunya bahawa mereka bertindak bagi pihak Anwar dan Quek.

Pada 1998, Hong Leong Finance Berhad (HLFB) memfailkaan saman terhadap Low kerana kegagalannya melunaskan pinjaman berjumlah RM28 juta kepada bank itu.

Pada tahun berikutnya, Low memfailkan saman balas terhadap HLFB, HLG Capital Markets Sdn Bhd dan Seow Lun Hoo, iaitu bekas ketua pegawai eksekutif Hong Leong Credit Berhad, untuk menuntut ganti rugi am kerana memberi nasihat tidak betul dan bersifat cuai.

Peguam Andrew Chiew mewakili HLFB. -BERNAMA

Artikel Lain