suria

Ambiga Gagal Dalam Rayuan Untuk Cabar Notis Halang Kemasukannya Ke Sarawak

PUTRAJAYA: Bekas pengerusi Majlis Peguam Datuk S.Ambiga gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah yang enggan memberi kebenaran untuk beliau mencabar notis menghalang kemasukkannya ke Sarawak semasa pilihan raya negeri pada April tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada Selasa sebulat suara menolak rayuan Ambiga selepas memutuskan beliau sepatutnya memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar notis itu di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, bukan di Mahkamah Tinggi Malaya seperti yang dilakukannya.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, yang mengetuai panel itu, berkata Ambiga sepatutnya tidak menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

"Kami benar-benar tidak nampak peranan yang dimainkan Jabatan Imigresen Malaysia. Memandangkan pengarah Imigresen Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dinamakan sebagai responden, permohonan itu (semakan kehakiman) sepatutnya dibawa ke Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak," katanya.

Hakim Tan berkata permohonan semakan kehakiman Ambiga patut dibatalkan kerana Mahkamah Tinggi Malaya tidak mempunyai bidang kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Mahkamah Kehakiman untuk mendengar prosiding sivil di luar bidang kuasa tempatannya.

Bidang kuasa tempatan Mahkamah Tinggi Malaya meliputi wilayah negeri-negeri di Tanah Melayu manakala bagi Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, ia merangkumi wilayah negegi-negeri Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, bagaimanapun tidak membuat sebarang perintah berhubung kos perundangan.

Ambiga membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur enggan memberi kebenaran kepadanya untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 4 Ogos tahun lepas.

Dalam permohonan itu, Ambiga memohon untuk membatalkan notis larangan memasuki Sarawak bertarikh 15 April tahun lepas yang dikeluarkan pengarah Imigresen Sarawak serta meminta mahkamah mengeluarkan perintah untuk memaksa responden membenarkan beliau memasuki negeri berkenaan.

Ambiga dilarang memasuki Sarawak sepanjang tempoh kempen 10 hari bagi pilihan raya negeri sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuching dari Kuala Lumpur pada 15 April tahun lepas.

Beliau diwakili peguam Tommy Thomas dan James Khong. - BERNAMA

Artikel Lain