suria

Rundingan Meja Bulat Anjuran Pemuda Umno Cuba Rungkai Isu PTPTN

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno pada Selasa memulakan Rundingan Meja Bulat Mahasiswa untuk meleraikan kekeliruan yang timbul berkaitan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Rundingan yang disertai lebih 200 badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta itu bertujuan mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah yang sering dihadapi peminjam PTPTN.

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata rundingan selama dua hari itu akan mengambil kira semua pandangan dan idea daripada peminjam yang diterima pergerakan itu melalui media sosial sejak seminggu lepas.

"Rundingan ini merupakan platform terbaik untuk mengkaji masalah tersebut dan pada akhirnya kita mengharapkan satu resolusi terbaik untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan rundingan berkenaan di sini.

Katanya masalah pembayaran balik pinjaman itu hanya melibatkan 17 peratus daripada lebih 1.9 juta peminjam sehingga tahun lepas.

"Lapan puluh tiga peratus peminjam telah mula membayar pinjaman itu, jadi ia tidak adil kepada mereka sekiranya PTPTN dimansuhkan. Kita mahu tahu apa masalah peminjam yang tidak membayar balik pinjaman PTPTN mereka," kata Razali.

Beliau berkata PTPTN telah memberi pengecualian pembayaran balik pinjaman kepada lebih 11,000 peminjam yang memperoleh keputusan kelas pertama sehingga tahun lepas, antaranya 2,347 adalah Melayu, 8,818 (Cina) dan 456 (India).

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dijangka menerima resolusi rundingan itu pada Rabu untuk diserahkan kepada Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Lain