suria

Proton Nafi Syed Zainal Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd menafikan laporan berita yang mengatakan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir akan meninggalkan syarikat itu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, syarikat pembuat kereta nasional itu berkata Syed Zainal Abidin "masih memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan PROTON, dan perkhidmatannya masih diperlukan dalam syarikat ini".

Merujuk kepada laporan berita yang disiarkan dalam The Edge Financial Daily itu, ia berkata: "PROTON tidak tahu tentang sumber spekulasi ini".

PROTON, yang ditubuhkan pada 1983, adalah pembuat kereta terbesar di Malaysia, dan satu-satunya pembuat kereta pengeluar kelengkapan asli sepenuhnya di Asia Tenggara.

Baru-baru ini ia telah diambil alih oleh konglomerat DRB-Hicom Bhd dan dijadualkan melancarkan kereta global pertamanya, Proton Preve, minggu depan.

Menurut PROTON urusan selepas pengambilalihan masih berjalan dengan lancar.

"Apabila selesai kelak, PROTON dijangka mencapai keserasian yang kukuh dengan anggota pasukan pengurusan baharu yang akan memberikan rangsangan yang diperlukan kepada PROTON untuk membawa syarikat ke arah pencapaian cita-citanya untuk menjadi peserta industri automotif yang berjaya di peringkat antarabangsa," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain