suria

Feri & Jambatan Pulau Pinang Beroperasi Seperti Biasa

GEORGE TOWN: Perkhidmatan feri dan laluan di Jambatan Pulau Pinang tidak terjejas sekalipun dua gegaran dirasai di negeri ini susulan kejadian gempa bumi di Aceh, Indonesia petang Rabu.

Ketua Perhubungan Awam Penang Port Sdn Bhd, Suhailawati Ramli ketika dihubungi Bernama, memberitahu perkhidmatan feri Pulau Pinang masih beroperasi seperti biasa dan pihaknya sedang memantau keadaan.

"Jika kami dapat amaran tsunami di kawasan ini kami akan terus berhentikan operasi," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat PLUS Expressway Berhad (PLUS) Khalilah Mohd Talha berkata setakat ini pihaknya tidak menerima arahan agar menutup Jambatan Pulau Pinang.

Jumlah kenderaan yang menggunakan jambatan juga seperti biasa, katanya ketika dihubungi.

Beliau juga berkata PLUS tidak menerima laporan mengenai kejadian tidak diingini di jambatan itu susulan gegaran berkenaan.

Beberapa negeri di Semenanjung merasai gegaran ekoran gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara, Indonesia yang berlaku pada pukul 4.30 petang Rabu waktu Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain