suria

Wakil MCA, ADUN DAP Bertengkar Dihadapan Pejabat SPRM

SHAH ALAM: Wakil MCA dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dilihat bertengkar di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini, Selasa ketika masing-masing hadir berhubung isu sebuah tapak padang bola sepak di Sungai Way.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku Kelvin Chong Seng Foo dan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San yang keluar daripada lif menuju ke pejabat SPRM bertekak kira-kira 15 minit di hadapan wakil media sebelum Chong masuk ke pejabat SPRM.

Ketika ditemui pemberita, Chong berkata beliau datang membuat laporan dan meminta SPRM menyiasat isu pembinaan projek komersial di atas tapak padang berkenaan yang dikatakan melibatkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Saya telah menyerahkan beberapa bukti kepada SPRM tetapi dinasihatkan supaya tidak mendedahkannya. Saya berani kerana benar dan berharap satu siasatan terperinci dapat dibuat," katanya.

Beliau mengalu-alukan kehadiran Lau yang difahamkan juga mahu menyerahkan maklumat berhubung isu padang berkenaan kepada SPRM.

"Saya rasa semua ahli politik patut mencontohi apa yang berlaku hari ini, sama-sama tampil menyerahkan bukti supaya tindakan boleh diambil," katanya.

Chong berkata pembangkang sepatutnya tidak terus menyalahkan kerajaan sekiranya berlaku sesuatu isu sebaliknya mereka (pembangkang) perlu berusaha memperbaiki dan menyelesaikan isu yang timbul itu.

Isu pembinaan pusat komersial di padang yang juga digunakan oleh para pelajar sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina itu timbul apabila sebuah syarikat pemaju bercadang membina sebuah pusat komersial di kawasan tersebut.

Padang itu yang juga digunakan penduduk Sungai Way untuk melakukan aktiviti riadah dan kemasyarakatan difahamkan akan menjejaskan perniagaan kira-kira 100 penjaja di situ.

Lau ketika ditemui berkata beliau akan menyerahkan dokumen berhubung isu yang sama kepada SPRM selepas Chong membuat laporan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain