suria

Semarakkan Budaya Sains Dan Inovasi - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan sebuah sistem media sosial yang diurus di bawah Tahun Sains dan Gerakan Inovasi 2012 (SGI2012) diwujudkan untuk menyemarakkan penyebaran budaya sains dan inovasi di negara ini.

Beliau menarik perhatian bahawa golongan belia, yang merupakan kumpulan yang dinamik, bertenaga, inovatif dan kreatif, menjadi ramuan penting dalam usaha membangunkan bidang sains, teknologi dan inovasi negara.

"Media sosial merupakan gelanggang dan platform bagi anak-anak muda berinteraksi...Saya dimaklumkan ia berpotensi menembusi lebih 17 juta kumpulan sasar Gerakan Inovasi, kebanyakannya terdiri daripada anak-anak muda yang 80 peratus daripada mereka berusia bawah 40 tahun," katanya ketika merasmikan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 di sini malam Isnin.

Menurutnya, ini mampu memberi impak besar terhadap usaha membudayakan sains, kreativiti dan inovasi di kalangan rakyat dan melahirkan warga Malaysia yang inovatif.

Muhyiddin berkata kerajaan menyediakan pelbagai pengiktirafan bertujuan memupuk minat anak muda dan warga Malaysia ke arah menyumbang idea-idea terbaik bagi menggalakkan inovasi.

Ini termasuk Anugerah Inovasi Negara, Anugerah Inovasi Perdana Menteri, Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam, Anugerah Saintis Muda Negara dan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA). Muhyiddin juga berkata penekanan kerajaan terhadap inovasi telah menghasilkan 310 produk daripada 1,862 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan berjaya dipasarkan di dalam dan luar negara.

"Bagi tempoh 2008 hingga 2011, 13,213 permohonan dana berjumlah RM7.34 bilion telah diterima, dan sejumlah RM1.59 bilion telah diluluskan untuk membiayai 2,029 projek," katanya.

Dana-dana R&D tersebut dibuka kepada syarikat industri kecil dan sederhana, institusi penyelidikan serta institusi pengajian tinggi meliputi sektor ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), bioteknologi, industri, teras sains dan teknologi dan 'Sea to Space'.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan Barisan Nasional melalui MOSTI memperuntukkan RM2.2 bilion untuk R&D di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

"Selain pemberian geran, kerajaan juga menyokong peningkatan keupayaan R&D negara melalui pembangunan modal insan dalam bidang penyelidikan. Ini dibuat melalui skim-skim biasiswa yang ditawarkan menerusi Program Pembangunan Modal Insan," jelasnya.

Skim biasiswa itu termasuk 'National Science Fellowship' (NSF), Skim Biasiswa Penyelidikan Pasca Siswazah Universiti (PGD) dan Skim Biasiswa Penyelidikan Gunaan Pasca Siswazah bagi Pegawai Dalam Perkhidmatan (LDP).

Muhyiddin berkata selain itu, melalui Skim Penyelidikan Pasca Doktoral (PDF), kerajaan turut menyediakan pembiayaan RM9.44 juta kepada 18 institusi penyelidikan awam dan institusi pengajian tinggi awam dalam usaha pengukuhan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang-bidang keutamaan negara.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata SGI2012 akan memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan transformasi ilmu dan pengetahuan kepada produk, proses, perkhidmatan atau penyelesaian.

Katanya ini bagi meningkatkan nilai tambah dalam setiap sektor bagi memaksimumkan faedah sosio-ekonomi kepada seluruh rakyat. - BERNAMA

Artikel Lain