suria

Sebahagian Besar Kematian Wanita Akibat Kanser Berlaku Di Negara Membangun

KANGAR: Sebahagian besar kematian akibat kanser berlaku di negara membangun dan antara puncanya ialah kegagalan mengesan penyakit itu di peringkat awal.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah berdasarkan statistik yang dikeluarkan agensi bagi penyelidikan kanser (GLOBOCAN) menunjukkan 275,000 kematian pada tahun 2008 adalah wanita dan kebanyakannya dari negara membangun.

"Mengikut statistik itu hampir 88 peratus kematian kanser berlaku di negara membangun dengan 58 peratus daripadanya adalah di Asia," titah baginda semasa merasmikan seminar penyakit Colposcopy dan Cervical Preinvasive peringkat kebangsaan 2012 di sini, Selasa.

Seminar sehari itu disertai 130 peserta termasuk pakar-pakar perubatan dan doktor. Turut berangkat ke majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah kanser adalah penyakit yang digeruni dan rakyat perlu diberi pendedahan awal mengenai bahaya ancaman itu.

Pegawai dan kakitangan Jabatan Kesihatan serta hospital perlu sentiasa membentuk dan memupuk kesedaran masyarakat bahawa pencegahan awal daripada sebarang ancaman penyakit adalah amat penting, titah baginda. -BERNAMA

Artikel Lain