suria

Rangka Tindakan Tangani Masalah Kesihatan Warga Emas Akan Disediakan

KOTA BARU: Kementerian Kesihatan akan menyediakan rangka tindakan bagi menangani masalah kesihatan membabitkan warga emas yang jumlahnya akan meningkat pada 2020, kata Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata pandangan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) akan diambil kira dalam menyediakan rangka tindakan itu bagi memantapkan persediaan menghadapi masalah kesihatan warga emas ketika negara menjadi negara maju.

"Semua pihak perlu membantu kementerian bagaimana memastikan tahap persediaan ke arah itu dapat dilakukan dengan sempurna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan yang bertemakan "Penuaan dan Kesihatan" di sini Selasa.

Rosnah turut merujuk kepada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lepas yang menunjukkan 36.2 peratus daripada kalangan warga emas yang berumur 60 hingga 64 tahun disahkan menghidap diabetes, hiperkolestrolemia (55.7 peratus) dan hipertensi (68.7 peratus).

"Ini sebenarnya trend penyakit warga emas yang agak membimbangkan kerajaan dan ia akan terus bertambah pada 2020 dan 2030 yang mana mengikut kajian Malaysia akan mengalami impak penuaan penduduk dengan lebih cepat berbanding negara Eropah," katanya.

Mengikut bancian penduduk pada 2010, terdapat 2.2 juta warga emas di negara ini atau kira-kira 8.0 peratus daripada populasi penduduk dan dijangkakan menjelang 2020 jumlah warga emas itu akan meningkat kepada 3.4 juta.

Di klinik kesihatan seluruh negara pada tahun lepas mendapati lima masalah utama kesihatan membabitkan warga emas iaitu hipertensi (12.6 peratus), diabetes (9.7 peratus), masalah sendi (6.9 peratus), masalah mata (3.5 peratus) dan paru-paru (3.3 peratus), katanya.

"Bagi yang dimasukkan ke hospital kerajaan pula lima masalah utama adalah kardiovaskular (21.6 peratus), masalah paru-paru (12.5 peratus), masalah endokrin dan metabolik (9.2 peratus), diabetes melitus dan kanser (8 peratus) serta masalah pembuangan air (7.9 peratus)," katanya.

Lima penyebab utama kematian warga emas di hospital kerajaan adalah kardiovaskular (32.4 peratus), paru-paru (21 peratus), jangkitan kuman (16.3 peratus), kanser (11.7 peratus) dan masalah usus (5.3 peratus), katanya.

Rosnah berkata masih ramai golongan itu yang belum membuat pemeriksaan awal di klinik atau hospital bagi mengesan penyakit yang mereka hidapi dan akan membuat rawatan apabila berlakunya komplikasi penyakit tersebut.

"Ini yang kita minta bantuan semua pihak termasuk NGO agar dapat mendidik golongan warga emas yang kononnya sihat agar membuat rawatan pengesanan penyakit agar sesuatu dapat dilakukan dengan berkesan apabila penyakit dapat dikesan lebih awal," katanya.

Sementara itu Rosnah yang juga Ketua Pergerakan Puteri Umno berkata pergerakan itu kini sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 pada bila-bila masa sahaja.

Beliau berpuas hati dengan gerak jentera anggota pergerakan itu di setiap negeri yang menunjukkan iltizam yang jitu bagi menghadapi pilihan raya yang dianggap getir kali ini.

Rosnah juga berkata pihaknya sama sekali tidak akan menuntut sebarang peruntukan jumlah kerusi yang dipertandingkan kerana yang penting adalah memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya umum itu. - BERNAMA

Artikel Lain