suria

Pujuk Penduduk Balik Pulau Jual Tanah, Tindakan Tidak Wajar - Umno P. Pinang

BALIK PULAU: Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menyifatkan tindakan ejen hartanah swasta mengedar surat tawaran meminta penduduk di Balik Pulau menjual atau menyewakan tanah mereka sebagai tidak wajar dan tidak patut berlaku.

Beliau berkata tindakan ejen itu seperti mempunyai niat dan tujuan tertentu serta cuba meraih keuntungan untuk kepentingan sendiri tanpa memikirkan kebajikan penduduk. "Sebelum ini tidak timbul isu seperti ini, ia satu perkara baru. Penduduk perlu berhati-hati dengan niat ejen ini.

"Tanah itu adalah harta yang menjadi milik penduduk, fikirkan tentang masa depan, jangan bertindak terburu-buru," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) di Restoran Peladang Balik Pulau di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong. Muhamad Farid Saad, mengenai tindakan syarikat ejen hartanah swasta yang meminta penduduk yang berminat menjual atau menyewa tanah agar menghubungi ejen itu.

Muhamad Farid dilaporkan berkata kegiatan ejen hartanah itu berkemungkinan untuk membuat perubahan pola pembangunan di Balik Pulau dan mahu memindahkan penduduk kawasan itu secara sistematik.

Setakat ini 13 orang penduduk telah menerima surat tawaran itu sejak Jumaat lepas.

Hilmi berkata tindakan memujuk penduduk Balik Pulau menjual tanah berkemungkinan juga ada kaitan dengan ura-ura bahawa kerajaan negeri bercadang untuk membina sebuah terowong dari Bayan Baru ke Balik Pulau.

"Mungkin ada pihak yang telah tahu mengenai cadangan ini dan mahu untung lebih sebab itu pujuk penduduk supaya jual atau sewakan tanah mereka.

"Jika cadangan ini menjadi kenyataan maka harga tanah di kawasan itu akan melambung tinggi, jadi mana-mana pihak yang berkepentingan akan meraih untung besar," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain