suria

Program Tukar: 626 Kedai Runcit Berjaya Dimodenkan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 626 kedai runcit telah dimodenkan menerusi Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) sejak ia diperkenalkan tahun lalu, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe.

"Kami berjaya melepasi sasaran 500 buah kedai yang telah dimodenkan pada 2011.

"Sehingga 6 April tahun ini, 107 buah kedai diserapkan ke dalam program ini dengan 393 masih di peringkat pelaksanaan," katanya kepada Datuk Dr Mohamad Shaharum Osman (BN-Kuala Lipis).

Tan berkata, kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk program tersebut tahun lalu dan jumlah itu dinaikkan kepada RM50 juta pada tahun ini.

Beliau berkata, di bawah program Tukar, pemilik kedai runcit diberikan sebanyak RM80,000 untuk tujuan pengubahsuaian manakala tambahan RM30,000 untuk tenaga kerja pada tahun ini berbanding hanya RM60,000 untuk kedua-duanya, tahun lalu.

Katanya, perkhidmatan rundingan disediakan oleh pasar raya seperti Tesco dan Mydin amat menggalakkan dan telah membantu para peruncit meningkatkan jualan mereka.

"Program Tukar dilaksanakan untuk membantu para peruncit bersaing secara sihat dan meningkatkan jualan harian mereka," tambahnya.

Ketika menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) berhubung kekurangan para peruncit Cina dalam program itu, Tan berkata, maklum balas yang diterima daripada komuniti itu masih rendah walaupun kementerian telah mengadakan pelbagai ceramah.

Salah satu punca yang mendorong kepada kekurangan penyertaan golongan itu adalah kerana kebanyakan anak-anak pemilik kedai runcit tidak mahu mengambil alih perniagaan keluarga mereka.

Di bawah program yang dilaksanakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi, kerajaan mensasarkan untuk memodenkan kedai runcit di seluruh negara dengan menyediakan bantuan rundingan bagi meningkatkan pendapatan negara dan peluang pekerjaan.

Kerajaan mensasarkan untuk memodenkan kira-kira 5,000 daripada 50,000 kedai runcit tradisional di seluruh negara menjelang 2020.

Artikel Lain