suria

Polis Yakin Dapat Selesaikan Dua Kes Curi Susu Tepung

KANGAR: Polis percaya dapat menyelesaikan dua kes kegiatan mencuri susu tepung di dua premis perniagaan di Perlis dengan tertangkapnya lima anggota kumpulan pencuri di Klang, Selangor pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Harom berkata dalam kejadian pada Khamis lalu antara pukul 3.30 petang dan 4.05 petang, kumpulan membabitkan empat lelaki dan empat perempuan itu memasuki dua premis di sini dan mencuri susu tepung pelbagai jenama bernilai ribuan ringgit.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya pada Selasa, beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan pencuri beralamat di Sabah itu itu datang ke sini menggunakan dua buah kenderaan dan memasukkan kotak dan tin susu tepung itu dalam pakaian mereka sebelum membawanya keluar daripada premis perniagaan.

"Pemeriksaan dalam peranti CCTV mendapati mereka memasukkan susu-susu tepung yang dicuri dalam baju sebelum meninggalkan premis itu dalam keadaan tergesa-gesa," kata Zull Aznam.

Bagaimanapun, dalam tempoh kira-kira 13 jam selepas kejadian, lima daripada anggota kumpulan itu iaitu tiga lelaki dan dua perempuan yang berumur antara 21 dan 53 tahun ditahan di Klang, Selangor pada Jumaat kira-kira pukul 3.30 pagi.

"Mereka mengaku mencuri susu tepung di Kangar dan hasil curian itu dijual kepada seorang peniaga kedai ubat di Kuala Lumpur," katanya.

Zull Aznam berkata pada 7 April, kira-kira pukul 5.20 petang polis menahan seorang lelaki berumur 48 tahun yang disyaki membeli susu tepung itu dan hasil tangkapan itu polis merampas sebahagian besar bahan curian itu.

Beliau berkata polis masih memburu lima lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas iaitu tiga perempuan dan dua lelaki dan mereka juga dipercayai turut terbabit dalam kegiatan di Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain