suria

Miliki Dadah: Dua Bersaudara Dipenjara

ALOR SETAR: Seorang nelayan dihukum penjara sembilan tahun, manakala saudaranya seorang peniaga dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan atas pertuduhan pindaan memiliki dadah pada tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Shahrudin Ibrahim, 53, dan Mohammad Tajudin, 36 mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan itu.

Mohd Shahrudin dikecualikan daripada disebat kerana berusia lebih 50 tahun.

Hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh bermula daripada tarikh ditangkap.

Kedua-duanya dituduh secara bersama memiliki dadah jenis heroin seberat 10.73 gram dan 'monoacetylmorphines' seberat 14.31 gram, di sebuah rumah tidak bernombor, TBA 32/6A, Jalan Kampung Naga, Kepala Batas dekat sini pada 11 Februari 2011 pukul 10.35 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980) boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzila Ishak, manakala Mohd Shahrudin diwakili peguam Prem Singh dan Mohammad oleh Pyara Singh. -BERNAMA

Artikel Lain