suria

MCA Mempergiatkan Program Jelajah Dekati Lebih Ramai Pengundi

KUALA LUMPUR: MCA akan mempergiatkan program jelajah untuk mendekati lebih ramai pengundi dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha mendapatkan lebih banyak sokongan daripada rakyat.

Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha berkata semua jawatankuasa perhubungan MCA negeri akan menganjurkan program itu sebagai sebahagian daripada persediaan parti di peringkat bahagian untuk pilihan raya umum akan datang.

"Ia adalah program berterusan yang kami mulakan sejak tahun lepas. Bagaimanapun memandangkan pilihan raya semakin hampir, kami mempergiatkannya dan lebih ramai pemimpin MCA akan terlibat dalam program ini.

"Kebanyakan mereka telah diberi tugasan khusus," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata setakat ini, program itu telah diadakan di Taiping (Perak) Seremban (Negeri Sembilan) dan minggu depan ia akan diadakan di Subang Jaya (Selangor).

Pada program itu, menteri, timbalan menteri dan anggota exco kerajaan negeri dari MCA akan turun padang untuk bertemu orang ramai melalui beberapa program yang dianjurkan peringkat bahagian.

Pada pilihan raya umum lepas, MCA bertanding di 40 kawasan Parlimen dan 90 kerusi negeri. Parti itu hanya memenangi 15 kawasan Parlimen dan 31 kawasan Dewan Undangan Negeri. -BERNAMA

Artikel Lain