suria

Kes Baru HFMD Di Sarawak Meningkat Kepada 75 Hari Ini

KUCHING: Jumlah kes baru penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dilaporkan di Sarawak telah meningkat dengan mendadak kepada 75 pada Selasa berbanding 29 kes semalam ( Isnin), menjadikan jumlah kes terkumpul setakat ini ialah 4,527 kes.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Zulkifli Jantan berkata peningkatan kes dikesan di Kuching yang mencatatkan 29 kes baru, Samarahan (11), Miri (sembilan), Mukah (tujuh), Bintulu (enam) dan Betong (lima) manakala Bahagian Sarikei, Sibu, Kapit dan Limbang mengekalkan jumlah kes yang sama.

Tiga pesakit baru telah dimasukkan ke wad iaitu di Hospital Bau, Pusat Perubatan Rejang dan Pusat Perubatan Bintulu, menjadikan jumlah kes 356 kes setakat ini, katanya dalam kenyataan di sini Selasa. Katanya jumlah kumulatif bagi kes penyakit serius membabitkan dua kanak-kanak lelaki dari Hospital Bintulu.

Salah seorang kanak-kanak yang berusia 22 bulan, telah dipindahkan ke Hospital Sibu pada Isnin untuk rawatan lanjut selepas dimasukkan ke hospital pada 17 Mac manakala seorang lagi kanak-kanak, berusia 17 bulan, telah dibenarkan keluar hospital pada 25 Mac lalu selepas dimasukkan ke wad pada 19 Mac.

Sehingga Selasa, tiada arahan penutupan kepada mana-mana institusi, menjadikan setakat ini jumlah institusi yang ditutup kekal kepada 80, termasuk lapan yang memberhentikan operasi secara sukarela.

Bahagian Kuching merekodkan bilangan tertinggi institusi ditutup sementara iaitu 47 diikuti Sarikei (12), Betong (tujuh), Bintulu dan Samarahan (masing-masing lima) dan Limbang (empat). - BERNAMA

Artikel Lain