suria

Kelicikan Penjenayah Siber Perlu Segera Dibendung - Aktivis

KUALA LUMPUR: Satu kajian terperinci perlu dilakukan bagi membendung kelicikan penjenayah siber yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini, kata seorang aktivitis masyarakat.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata jenayah siber merupakan satu jenayah amat rumit kerana kecanggihan teknologi baru yang semakin berkembang, menjadikannya mudah dimanipulasi.

"Dalam hal ini, diharap pihak berkuasa dapat menjalankan satu kajian dengan lebih mendalam agar kelicikan penjenayah siber ini dapat dibendung," katanya ketika dihubungi Bernama.

Lee berkata jumlah kes penipuan siber yang meningkat dengan mendadak pada tahun lepas menunjukkan bahawa rakyat masih cetek pengetahuan dalam menilai kebolehpercayaan terhadap sesuatu perkara.

Beliau berkata sepatutnya kecanggihan alat teknologi dicipta untuk kemudahan manusia namun ia telah disalah guna sehingga mengundang kepada penyelewengan penggunaan kemudahan berkenaan.

"Masyarakat perlu sentiasa sedar tentang kegiatan ini agar mereka sentiasa bersedia untuk tidak mudah tertipu dengan janji-janji kosong warga asing yang akan cuba sehabis-habisnya untuk menipu rakyat terutamanya wanita," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sindiket penggodam e-mel syarikat perniagaan antarabangsa menggunakan wanita tempatan untuk membuka akaun di negara ini dan memindahkan hasil penipuan mereka ke akaun wanita tempatan itu sebelum dipindahkan sekali lagi ke akaun sindiket berkenaan.

Sejak Januari hingga kini 10 wanita tempatan dilaporkan menjadi keldai siber untuk sindiket itu yang beroperasi di Afrika dan Timur Tengah.

Sebelum ini, Bernama memetik Ketua Pembangunan Perniagaan CyberSecurity Malaysia Mohd Anwer Mohamed Yusoff sebagai berkata bahawa negara mencatatkan anggaran kerugian sebanyak RM2.75 bilion dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini akibat daripada jenayah siber khasnya dalam sektor kewangan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pula melaporkan Febuari lepas berlaku peningkatan mendadak terhadap penipuan jenayah siber iaitu sebanyak 88 peratus bersamaan 15,218 kes pada tahun 2011 berbanding 8,095 kes pada tahun 2010 melalui talian Cyber 999 Help Desk.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, ACP Mohd Kamarudin Md Din berkata masyarakat terutama golongan wanita Malaysia masih mudah dimanipulasi malah golongan lelaki juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa.

"Masih ramai wanita Malaysia berbangsa Melayu terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki sindiket penipuan Afrika meskipun kegiatan ini sering didedahkan pihak media.

"Banyak cara digunakan oleh sindiket Afrika untuk menjadikan rakyat di negara ini sebagai keldai siber, termasuk memikat mereka menerusi Facebook dan ada yang memikat daripada segi fizikal," katanya kepada Bernama.

Mohd Kamarudin berkata modus operandi terbaru yang dikesan adalah penipuan Internet yang didalangi sindiket antarabangsa dari dalam dan luar negara dengan merekrut wanita tempatan sebagai keldai siber. - BERNAMA

Artikel Lain