suria

Hanya Empat Lagi Mangsa Petir Masih Dirawat Di Hospital Melaka

MELAKA: Hanya empat daripada 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St Francis masih dirawat di Hospital Melaka selepas dipercayai terkena arus petir ketika sedang mengikuti perkhemahan di Kem Pengakap di Bukit Katil di sini, petang Ahad.

Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital Melaka, Dr Abdul Raof Jaafar berkata keempat-empat pelajar lelaki tersebut kini ditempatkan di wad biasa hospital berkenaan.

"Kesemua mereka ditempatkan di wad pemerhatian kerana masih dalam keadaan lemah. Kita akan menjalankan pemeriksaan rapi terhadap keempat-empat pelajar tersebut termasuk pemeriksaan jantung," katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata seorang daripada pelajar yang menyertai perkhemahan Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) itu dibenarkan pulang malam semalam manakala 10 lagi pelajar pulang kira-kira jam 9 pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, kesemua pelajar tersebut sedang berlindung dalam khemah sewaktu hujan lebat selepas mengadakan latihan kawad bagi upacara perasmian program perkhemahan tersebut, Isnin.

Seramai 584 pelajar dari pelbagai sekolah di sekitar negeri ini menyertai perkhemahan itu selama seminggu bermula semalam. - BERNAMA

Artikel Lain