suria

Anggota Majlis Daerah Raub Didakwa Terima Suapan RM4,500

KUANTAN: Anggota Majlis Daerah Raub, Raja Ali Raja Meran, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, mengaku tidak bersalah menerima suapan RM4,500 sebagai upah membantu sebuah syarikat membekalkan motosikal kepada Majlis Daerah berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jaya Motor Centre, No 84 dan 85, Jalan Lipis-Raub pada 24 Mei 2010 mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 dan denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, bergantung mana lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan, Raja Ali, 51, menerima suapan itu daripada Chong Ah Hee sebagai upah membantu Jaya Motor Centre membekalkan lima motosikal jenis Modenas CT100 dengan mengemukakan tiga sebut harga kepada pihak Majlis Daerah Raub.

Hakim Fathiyah Idris membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Bangladesh, yang menjual VCD, mengaku tidak bersalah memberi rasuah RM3,000 kepada seorang pegawai polis.

Repon Khan Mizan Khan, 30, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Cemeron Highland pada 7 November tahun lepas.

Dia didakwa memberi suapan kepada Inspektor Vincent Tang Kok Wee sebagai dorongan agar pegawai polis itu tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana memiliki 120 unit VCD tanpa sijil 'B'.

Fathiyah membenarkan Repon diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafinas Shabudin dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Raja Ali dan Repon, yang tidak diwakili peguam, membayar wang jaminan masing-masing. - BERNAMA