suria

Akta Baru Ganti ISA Hadkan Kuasa Menteri - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dengan jelas akan mengehadkan kuasa menteri yang bertanggungjawab bagi menjaga hal ehwal dalam negeri.

Malah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, menerusi cadangan akta baru itu juga akan mengurangkan tempoh tahanan, menjaga kebajikan tahanan dan keluarga mereka tanpa menjejaskan keselamatan negara.

Menurut beliau, Rang Undang-undang tersebut dihasilkan dengan mengambil kira lima elemen utama selepas kerajaan mengumumkan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Tambah Hishammuddin, kerajaan juga turut berunding dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Majlis Peguam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika merangka rang undang-undang ini.

"Bila datang akta baru, kuasa menteri sekarang termasuk dalam akta baru.

"Rang Undang-undang ini juga menyatakan secara jelas seseorang itu tidak boleh ditahan atas fahaman dan tindakan politiknya. Semua ini dilakukan sejajar dengan perkembangan semasa tanpa menjejaskan keselamatan negara," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Beliau mengulas mengenai Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada Selasa.

Rang Undang-undang itu bertujuan memansuhkan ISA bagi mengawal ketenteraman awam yang ditimbulkan oleh ancaman keganasan, sabotaj dan pengintipan.

Selain itu Hishammuddin berkata penggubalan akta baru berkenaan adalah selaras dengan matlamat Pelan Transformasi Politik yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sebelum ini, kerajaan turut memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959 dan Ordinan Darurat.

Artikel Lain