suria

Teoh: Tiga Pegawai SPRM Telah Diminta Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meminta tiga pegawai SPRM yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kematian Teoh Beng Hock, untuk memberikan penjelasan berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata langkah itu merupakan proses sebelum tindakan tatatertib diambil terhadap mereka, berdasarkan cadangan daripada jawatankuasa aduan yang dibentuk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"SPRM telah membentangkan kes tersebut kepada jawatankuasa aduan yang dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nor Adullah.

"Setelah mereka berbincang mengenai hasil pencapaian Suruhanjaya Siasatan Diraja dan cadangan-cadangan yang dibuat, mereka telah mengemukakan beberapa pandangan dan salah satu pandangannya ialah mengambil tindakan tatatertib.

"Tingkah laku mereka (pegawai SPRM) ada yang melanggar peraturan tatatertib, jadi kita sedang dalam proses meminta mereka memberikan penjelasan terhadap pertuduhan yang telah dikenakan terhadap mereka," katanya kepada pemberita, Isnin.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan Perjanjian Integriti (IP) antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) dengan SPRM, di sini.

Majlis menandatangani CIP dan IP itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abu Kassim berkata bentuk tindakan tatatertib yang bakal dikenakan akan bergantung kepada keseluruhan proses yang sedang dilaksanakan itu.

Katanya tindakan gantung kerja yang dikenakan terhadap tiga pegawai SPRM tersebut telah ditarik balik berikutan siasatan telah selesai dan mereka kini ditempatkan di tempat lain dan tidak lagi berada di pejabat SPRM Selangor.

Mengenai permintaan keluarga Teoh untuk berdialog dengan SPRM, Abu Kassim yang mengalu-alukannya, berkata mereka boleh datang ke SPRM pada bila-bila masa.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14, plaza berkenaan.

Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kematian Teoh, memutuskan bahawa Teoh membunuh diri akibat mengalami rasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan ke atasnya oleh pegawai penyiasat SPRM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain