suria

Selangor Mohon Kerajaan Persekutuan RM1 Bilion Atasi Banjir

KLANG: Kerajaan Selangor akan memohon peruntukan berjumlah RM1 bilion daripada kerajaan Persekutuan untuk program mencegah banjir.

Menyatakan demikian, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, permohonan itu dibuat kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pencegahan banjir terletak di bawah kerajaan Persekutuan.

Hanya JPS yang boleh membina kolam takungan air, kata Abdul Khalid pada sidang media selepas menyampaikan bantuan bencana banjir kilat Fasa 1 daerah Klang di sini, Ahad.

Menteri Besar berkata, beliau telah dimaklumkan oleh JPS bahawa RM1 bilion diperlukan untuk mengatasi masalah banjir di Klang.

"Unit Perancang Ekonomi negeri Selangor (UPEN) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah sediakan kertas kerja dan saya akan kemukakannya kepada exco kerajaan negeri dalam tempoh dua minggu lagi.

"Selepas itu, saya akan menulis kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk terangkan mengenai perlunya Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan menyelesaikan masalah banjir bukan sahaja di Klang tetapi juga (di kawasan lain) di Selangor," katanya.

Sebanyak 1,318 keluarga di bandar Klang yang terjejas akibat banjir kilat pada bulan lepas masing-masing menerima bantuan berjumlah RM500 daripada kerajaan negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain