suria

PSC Lynas Dijangka Adakan Mesyuarat Pertama Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi meneliti pembinaan Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang dijangka mengadakan mesyuarat pertama minggu depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu perlu menunggu sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai bantahan kerajaan terhadap permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan oleh penduduk tempatan mengenai pembinaan kilang terbabit.

"Buat masa ini kita tahu ada semakan kehakiman mengenai perkara berkenaan.

"Jadi kita mesti tunggu sehingga keputusan terhadap semakan kehakiman itu selesai. Saya cuba untuk adakan (mesyuarat) minggu depan," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 12 April ini untuk membuat keputusan bagi semakan kehakiman difailkan oleh penduduk tempatan berkaitan lesen operasi sementara yang diberikan kepada Lynas.

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan penubuhan PSC berhubung Lynas dengan keanggotaan seramai sembilan orang terdiri daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN), pembangkang dan Bebas.

Namun berikutan keengganan pembangkang menyertainya, jawatankuasa itu akan hanya dianggotai enam Ahli Parlimen, masing-masing lima wakil BN termasuk seorang pengerusi dan seorang wakil Bebas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain