suria

Peserta Kursus Kemahiran Bakal Lanjut Pengajian Di Universiti Teknikal KPT

SHAH ALAM: Kementerian Sumber Manusia sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha memberi peluang kepada peserta kursus latihan kemahiran melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di beberapa universiti teknikal KPT.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kerjasama itu adalah selaras dengan usaha menaik taraf tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) ke peringkat setaraf ijazah bagi mendorong lebih ramai peserta mengikuti kursus latihan kemahiran di negara ini.

"Misalnya, kerjasama ini akan membantu antara lain peserta dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) untuk melanjutkan pengajian secara terus di peringkat ijazah dalam bidang kemahiran di universiti teknikal KPT.

"Pegawai kementerian sedang memperhalusi beberapa perkara dengan KPT dalam usaha menjalin kerjasama ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar-pelajar Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia di ADTEC Shah Alam di sini Isnin.

Subramaniam berkata kerjasama itu dibuat kerana kementerian ingin meningkatkan tahap pencapaian dalam bidang kemahiran dengan membuat beberapa penyusunan dengan keperluan industri semasa.

Beliau berkata peserta kursus latihan kemahiran akan dapat memasuki universiti teknikal itu sebaik kedua-dua kementerian menyelesaikan isu-isu mengenai proses pengambilan pelajar dari segi pengiktirafan dan sebagainya.

Katanya sebanyak empat universiti teknikal di bawah KPT sudahpun dikenal pasti iaitu Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata beliau secara peribadi telah dikunjungi seramai 200 peserta sijil kejururawatan daripada sebuah kolej swasta baru-baru ini yang membuat aduan menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan di hospital kerajaan mahupun swasta.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka agar memastikan ada peluang kerjaya secukupnya sebaik menamatkan pengajian dalam bidang itu.

"Peserta sijil kejururawatan perlu memastikan kolej swasta yang dituntut itu ada ikatan pekerjaan dengan mana-mana hospital supaya mudah diserap masuk sebaik menamatkan pengajian," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain