suria

Pembangkang Dicabar Laksana Pendidikan Percuma Di IPTS Milik Mereka

KUALA LUMPUR: Pembangkang dicabar melaksanakan sistem dasar pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi bagi negeri yang diperintah mereka sebelum mendesak kerajaan Pusat menghapuskan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembangkang perlu membuktikan keupayaan mereka melaksanakan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi milik kerajaan negeri terlebih dahulu tanpa menunggu masa mengambil alih pentadbiran kerajaan Pusat.

Tambah Mohamed Khaled, kerajaan tidak mempunyai sebarang halangan untuk pembangkang melaksanakan dasar itu di tiga institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri di bawah pentadbiran pembangkang termasuk Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kedah kerana IPTS berkenaan milik sepenuhnya kerajaan negeri.

"Kalau mereka percaya dan ada formula terbaik untuk memberikan pendidikan percuma, mereka perlu mulakan sekarang di negeri dikuasai mereka dan tidak perlu tunggu sehingga dapat mengambil alih kerajaan Persekutuan...jangan berat sebelah.

"Mereka kata PTPTN menyebabkan pelajar menanggung beban, justeru tidak perlu (pelajar IPTS di bawah negeri pembangkang) mengambil PTPTN kerana asasnya adalah pendidikan tinggi percuma," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Sebelum ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa siri ceramah politiknya menyatakan pinjaman PTPTN bernilai RM43.6 bilion dapat dilepaskan dalam masa tiga tahun dengan pemotongan perbelanjaan yang membazir dan daripada syarikat kerajaan yang membuat keuntungan tinggi seperti Petronas.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, hutang pinjaman PTPTN oleh pelajar di IPTS di negeri yang diperintah pembangkang hingga kini berjumlah hampir RM1.5 bilion.

Jelas beliau, seramai 25,649 pelajar Unisel terlibat dengan pinjaman PTPTN membabitkan RM851.3 juta selain RM369.977 oleh 13,763 pelajar di Kuis dan RM258.451 oleh 5,672 pelajar di Kuin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain